Warga emas parah diserang sang bedal

Warga emas parah diserang sang bedal

Lahad Datu: Pantang maut sebelum ajal. Seorang warga emas nyaris maut selepas diserang buaya dalam kejadian di Kampung Rancangan Silabukan, Peringkat 4, di sini, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki berusia 70 tahun itu mengalami parah di kaki, tangan dan perut selepas berjaya melepaskan diri dari gigitan buaya berkenaan.

Keadaan luka mangsa akibat diserang buaya di Kampung Rancangan Silabukan, Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama isteri dan lima lagi rakan sekampung pergi ke tepi sungai untuk mencari lokan.

Bagaimanapun katanya, seekor buaya tiba-tiba muncul di tepi sungai berkenaan dan terus membaham kaki mangsa terbabit.

“Dengan bantuan rakan dan isterinya, mangsa berjaya diselamatkan selepas mereka bertindak memukul kepala dan mata buaya berkenaan.

“Akibat kejadian itu, warga emas terbabit yang mengalami kecederaan terus dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, warga emas berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sehubungan itu, Rohan menasihati orang ramai dan penduduk setempat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan berwaspada dengan ancaman buaya ketika berada di sungai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|