Polis trafik bersihkan longkang elak air bertakung terima pujian

Polis trafik bersihkan longkang elak air bertakung terima pujian

Putatan: Biar seragam putih tercalit kotoran asalkan integriti tidak tercalar, itu gambaran yang dapat diberikan terhadap tindakan seorang anggota polis trafik yang sanggup turun membersihkan sampah yang menyebabkan longkang di tepi jalan raya di Kampung Meruntum, di sini, tersumbat pagi tadi.

Tindakan Koperal Shah Erman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu bagi mengalirkan air dalam longkang supaya tidak bertakung di jalan raya.

Koperal Shah Erman

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, Koperal Shah Erman ketika itu sedang menjalankan tugas ‘point duty’ bersama dua lagi anggota, Sarjan Fadzil dan Konstabel Syazwan yang turut mengawal lalu lintas.

“Mereka juga menjalankan tugasan melancarkan aliran trafik di kawasan itu dan pada masa yang sama Koperal Shah Erman mengambil langkah membersihkan sisa kotoran dalam longkang yang tersumbat yang menyebabkan takungan air di jalan berkenaan.

Koperal Shah Erman berada di dalam longkang untuk membersihkan sampah yang tersumbat.

“Saya ucapkan syabas kepada Koperal Shah Erman di atas sikap positif yang ditunjukkan kepada masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi IPD Penampang, hari ini.

Koperal Shah Erman berusia 35 tahun berasal dari Kuantan, Pahang, sudah sembilan tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi hantaran itu satu video berdurasi 2.38 minit yang memaparkan Koperal Shah Erman berada di dalam longkang untuk membersihkan sampah yang tersumbat turut dikongsikan kepada netizen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|