Komposer dari Semenanjung dipelawa cungkil bakat baharu di Sabah

Komposer dari Semenanjung dipelawa cungkil bakat baharu di Sabah

Sandakan: Komposer dari Semenanjung dipelawa datang ke negeri ini untuk membuat uji bakat bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian terutama dari daerah ini.

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Jaffari Waliam yang mengharapkan lebih ramai komposer selain daripada komposer terkenal, Julfekar yang setakat ini menunjukkan minat membantu industri seni untuk diketengahkan di peringkat nasional.

“Sebenarnya banyak bakat terpendam di Sandakan khasnya namun tidak diketengahkan atau dicungkil oleh komposer terkenal terutama dari Semenanjung.

“Mana tahu ada komposer dari Semenanjung yang mahu mencari artis baharu, boleh datang ke Sandakan untuk mengadakan uji bakat dan sekali gus memberi peluang kepada rakyat di daerah ini terutama mereka yang mempunyai bakat untuk diketengahkan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan album ‘Husadee Tanpa Alasan’ di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kehadiran Julfekar yang memberi peluang kepada kumpulan Husadee menerbitkan album pertama mereka.

Mengulas lanjut, beliau turut berterima kasih kepada Julfekar yang membuka peluang kepada artis tempatan Sabah untuk diketengahkan bakat mereka menerusi pelancaran album itu.

“Saya difahamkan, album Husadee ini bukan saja dipromosikan di seluruh Sabah tetapi juga sehingga ke Semenanjung dan juga Filipina.

“Bagi saya ini juga salah satu cara untuk kita promosikan Sandakan kepada orang di luar sana melalui lagu-lagu berirama Melayu dan Bajau Sulug serta Tagalog, Filipina,” katanya.

Sebelum itu, kumpulan Husadee terdiri daripada tiga individu yang sebenarnya masing-masing mempunyai kerjaya namun disebabkan minat mereka menubuhkan kumpulan dan seterusnya menerbitkan album.

Nama kumpulan Husadee diambil daripada gabungan tiga nama sahabat karib berkenaan iaitu Hud Lutfi sebagai Hud, Syamsir (Sam) dan Rosdee (Dee).

Turut dilancarkan pada hari yang sama adalah album penyanyi Min Yasmin ‘Min Yasmin World On A String’ dan konsert beliau juga akan diadakan pada 11 dan 13 Mac depan di Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|