14 PATI Indonesia gagal seludup masuk Tawau

14 PATI Indonesia gagal seludup masuk Tawau

Tawau: Tindakan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau gagal apabila ditahan sepasukan anggota dari Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di jeti pemunggah balak di Kampung Hidayat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, semua PATI berusia antara tiga hingga 69 tahun itu ditemui bersama barang persendirian dipercayai baru tiba di Tawau selepas diurus oleh agen.

PATI yang ditahan ketika cuba menyusup masuk ke Tawau.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan Op Benteng Bersama dengan menggunakan pacuan empat roda dan mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan berhampiran jeti berkenaan.

“Bot yang membawa PATI kemudian beredar secara tergesa-gesa dari kawasan itu selepas saja menurunkan semua PATI ke daratan.

“Tim QRF bertindak mengepung dan menahan semua PATI terbabit. Tiga daripada yang terkejut kemudian bertindak melarikan diri namun sempat ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan terhadap 14 PATI berkenaan mendapati mereka adalah warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka didapati memasuki negara ini secara haram melalui perairan daerah ini dan mereka dimaklumkan bahawa akan menaiki bot yang diatur oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil agen lain dari Tawau untuk dihantar ke destinasi yang ditetapkan.

“Kesemua PATI ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jam 5 petang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|