Pentingnya CIQS Serudong, pembangunan bandar sempadan berdekatan Kalimantan

Pentingnya CIQS Serudong, pembangunan bandar sempadan berdekatan Kalimantan

Serudong mungkin sebuah lokasi yang terpencil berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia di Kalabakan kerana tiada jalan yang baik untuk ke sana, selain hanya laluan balak yang sukar dilalui.

Namun, lokasinya dianggap strategik dan sangat berpotensi dibangunkan sebagai laluan keluar masuk jalan darat di antara Sabah dan Kalimantan sekali gus menjadi pemangkin pembangunan bandar sempadan untuk mengaktifkan aktiviti perniagaan dan menjana ekonomi setempat yang memberi manfaat kepada rakyat.

Peta menunjukkan lokasi cadangan pintu sempadan menghubungkan Serudong, Kalabakan dengan Simanggaris, Kalimantan Utara.

Cumanya, kekangan utama ketika ini ialah ketiadaan jalan perhubungan dan kemudahan yang diperlukan untuk menjadikan Serudong sebagai pintu masuk sempadan melalui laluan darat yang menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

Berbeza dengan lokasi berjiran dengannya di sebelah Kalimantan yang disebut Simanggaris, pihak berkuasa Indonesia dikatakan sudah membina jalan raya yang baik hingga ke sempadan.

Bung Moktar ketika tinjauan ke lokasi cadangan CIQS Serudong di sempadan Malaysia (Sabah) – Indonesia (Kalimantan Utara) pada Januari lalu.

Di pihak kita, setakat ini apa yang ada baru di peringkat cadangan untuk membina jalan raya dari Kalabakan ke Serudong sejauh 39 kilometer dengan anggaran kos kira-kira RM600 juta.

Turut dirancang ialah pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dengan kos RM215 juta, kedua-duanya dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan pada 2020 lagi, namun belum dilaksanakan.

Bung Moktar bersama rombongan di hadapan tugu sempadan dibina pihak berkuasa Indonesia yang terletak di hujung jalan menghubungkan Simanggaris, Kalimantan Utara dengan Serudong, Kalabakan.

Lebih memilukan, kerajaan Pusat baru-baru ini dilaporkan menangguhkan projek itu dengan alasan berdepan kekangan kewangan, sekali gus memberi gambaran yang projek berkenaan mungkin mengambil masa yang lama lagi untuk direalisasikan.

Ini bermakna, kita sudah ketinggalan berbanding jiran kita di Kalimantan yang sudahpun membina infrastruktur jalan raya mereka bagi menghubungkan kawasan sempadan darat dengan Sabah.

Mereka hanya perlu membangunkan pos lintas batas atau pos kawalan di kawasan berhampiran sempadan mereka apabila kemudahan yang sama sudah tersedia di wilayah kita.

Maka, tidak hairanlah pelbagai pihak menyuarakan rasa tidak setuju, tidak puas hati atau lebih berat lagi perasaan marah terhadap keputusan kerajaan persekutuan yang menangguhkan projek CIQS dan jalan raya ke Serudong itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin antara yang tampil menyatakan pentingnya projek CIQS Serudong itu diteruskan tanpa penangguhan.

Persoalannya, apakah kepentingan projek itu kepada Sabah? Benarkan ia mampu membantu merancakkan ekonomi Sabah, khususnya di Kalabakan dan sekitarnya?

Sejak sekian lama, sempadan darat Sabah dengan Kalimantan Utara, Indonesia yang menganjur dari Tawau ke Kalabakan dan Pensiangan hingga ke Tenom dan Sipitang dengan panjang kira-kira 700 kilometer tidak mempunyai pintu sempadan rasmi.

Yang ada hanyalah laluan tikus atau laluan haram, selain laluan sungai dengan pos kawalan Imigresen yang kecil seperti di Pagalungan, Pensiangan.

Jika dibandingkan dengan Sarawak, negeri jiran itu yang panjang sempadannya dengan Kalimantan lebih 1,000 kilometer, dilengkapi beberapa kemudahan CIQS seperti di Tebedu, Biawak dan Lubok Antu selain pos kawalan sempadan di banyak lagi lokasi.

Tidak hairanlah Sarawak tidak berdepan masalah besar kemasukan pendatang asing secara haram memandangkan negeri itu mempunyai banyak pintu masuk rasmi sempadan yang memudahkan penduduk negara jiran masuk secara sah.

Apa yang dilihat di Sarawak, kawasan berhampiran pintu sempadan dengan Kalimantan turut berkembang menjadi pusat perniagaan dan komersial yang menjadi tumpuan pengunjung.

Pelbagai kemudahan menghubungkan Kalimantan dan Sarawak juga diwujudkan seperti pelabuhan darat untuk urusan perdagangan rentas sempadan selain pengangkutan, termasuk perkhidmatan bas antara negara.

Sebelum pandemik Covid-19, terdapat perkhidmatan bas antara negara yang menghubungkan Pontianak di Kalimantan Barat dengan Sarawak hingga ke Brunei Darussalam.

Urusan keluar masuk penduduk dengan menggunakan kenderaan, sama ada dari Sarawak ke Kalimantan atau sebaliknya juga lebih mudah dengan adanya pintu sempadan darat yang serba lengkap.

Sarawak sudah lama menikmati kelebihan memiliki kemudahan pintu sempadan darat dengan Kalimantan dan sudah tentu, aktiviti rentas sempadan lebih rancak dengan beroperasinya ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur yang dinamakan Nusantara.

Tentunya perkara yang sama mahu dimanfaatkan Sabah menerusi pembukaan CIQS darat pertamanya di Serudong yang disasar bakal membuka era baharu perhubungan darat di antara negeri ini dengan wilayah Kalimantan Utara.

Bayangkan dengan adanya jalan raya yang baik dari Kalabakan ke Serudong dan seterusnya ke Simanggaris, Kalimantan, pengunjung dari Sabah boleh membawa kenderaan ke negara jiran itu dan begitu juga sebaliknya.

Aktiviti perniagaan di Serudong atau Kalabakan juga sudah pasti bertambah rancak dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat yang akhirnya mengubah kedudukan sosio ekonomi penduduk setempat ke tahap lebih baik berbanding sekarang.

Sabah juga dapat memanfaatkan pelbagai potensi dan peluang kerjasama dua hala dengan Kalimantan apabila Nusantara di Kalimantan Timur dibuka seperti diumumkan kerajaan Indonesia bermula pada 2024 jika kemudahan perhubungan darat antara kedua wilayah diwujudkan.

Meskipun kedudukan Nusantara agak jauh dari sempadan Sabah berbanding Sarawak, namun kerajaan Indonesia pastinya mempunyai perancangan untuk mengembangkan jaringan perhubungan darat ke seluruh wilayah Kalimantan untuk memudahkan urusan dengan ibu negara barunya itu.

Semoga dengan ketegasan kerajaan negeri untuk meneruskan rancangan pembangunan bandar sempadan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah (RDA) yang diumumkan Hajiji sebelum ini dapat memastikan projek CIQS dan kemudahan jalan raya menghubungkan kawasan sempadan diteruskan seperti yang dirancang.

Hajiji baru-baru ini juga mengarahkan Pihak Berkuasa Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA), yang diamanahkan membangunkan bandar sempadan termasuk di Bantul, Pagalungan untuk meneruskan projek berkenaan.

Inisiatif itu jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk merealisasikan projek pembangunan bandar sempadan dan ia diharap dapat menyedarkan kerajaan Pusat betapa pentingnya projek CIQS itu kepada Sabah yang perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan.

Bukan hanya potensi ekonomi yang perlu dilihat, malah Hajiji sebelum ini turut menyuarakan kepentingan pembinaan CIQS bagi menangani kemasukan secara haram melalui jalan tikus yang berlaku di sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|