Enam beranak sambut Ramadan, Aidilfitri di rumah baharu PPRT

Enam beranak sambut Ramadan, Aidilfitri di rumah baharu PPRT

Membakut: “Dulu rumah kami sangat usang, bocor di atap, bertiangkan kayu dari hutan dan berdindingkan papan lapis,” itu luahan Mohd Hisham Kula, 34, salah seorang penerima rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Kitana, di sini, semalam.

Mohd Hisham meluahkan rasa bersyukurnya apabila Ramadan dan Aidifitri tahun ini dapat disambut dengan lebih meriah dan selesa setelah rumah PPRT yang dimohonnya siap dan dapat didiami mereka enam beranak.

Mohd Hisham Kula, 34

“Alhamdulillah sejak lima bulan lalu, kami akhirnya dapat menetap di rumah yang lebih selesa selepas permohonan saya untuk mendapatkan bantuan PPRT berjaya.

“Jadi tahun ini dapatlah kami berbuka puasa dengan lebih selesa malah sambutan Aidifitri lebih meriah terutama anak-anak betul-betul gembira dengan rumah baharu ini,” katanya ketika ditemui media selepas secara rasminya menerima replika kunci rumah PPRT daripada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Mohd Hisham berkata, dia sudah lama memohon untuk mendapatkan rumah PPRT tetapi selepas kali keempat baru ia diluluskan.

“Memandangkan rumah lama yang saya diami sejak 10 tahun sudah terlalu usang jadi saya cuba memohon untuk mendapatkan bantuan PPRT.

“Saya terpaksa memohon sehingga empat kali sebelum diluluskan dan akhirnya siap pada tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, Mohd Hisham memaklumkan pendapatannya juga terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu.

“Saya hilang pekerjaan selepas pelaksanaan PKP yang lalu dan kini pendapatan keluarga hanya bergantung kepada upah sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atau melakukan kerja di sekitar kampung saja.

“Saya juga menyara empat anak yang masih kecil dan bersekolah selain isteri hanya suri rumah jadi agak terbeban dengan keadaan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, sebanyak 15 rumah PPRT di kawasan itu dibina dan sebahagian besar penerima sudahpun mendiami rumah masing-masing.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa senarai ketua isi rumah (KIR) yang benar-benar layak untuk dibina rumah PPRT dan kerajaan juga turut membuat pembaikan bagi rumah yang masih boleh dibaiki.

“Untuk tahun 2021, sebanyak 15 rumah sebahagian besarnya sudah diterima oleh pemiliknya, ada yang menerima sempena perayaan Krismas tahun lalu dan sekarang penyerahan kepada pemilik yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|