Dua suspek kes samun ditahan

Dua suspek kes samun ditahan

Tawau: Dua lelaki yang dipercayai suspek kes samun melarikan motosikal yang berlaku di kawasan deretan kedai di Taman Semarak, di sini, 4 April lalu berjaya ditahan polis, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai serta dibantu oleh polis bantuan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan, kes bermula membabitkan seorang mangsa warga tempatan yang juga pemilik kepada motosikal dicuri berkenaan.

Katanya, mangsa pada awalnya berjumpa dengan suspek kerana mahu menghantar tempahan makanan kira-kira jam 11.30 malam.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka mengarahkannya untuk turun dari motorsikal manakala rakan suspek pula bertindak mengancam mangsa.

“Mangsa hanya menuruti arahan itu sebelum kedua-dua suspek bertindak melarikan motorsikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek warga asing itu akhirnya berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan perumahan di Ladang Imam Bombalai.

“Manakala sebuah motorsikal yang disyaki barang kes juga turut dirampas di sekitar kawasan berkenaan.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan terus dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|