PPM rampas diesel bersubsidi, lori tangki bernilai RM181,500

PPM rampas diesel bersubsidi, lori tangki bernilai RM181,500

Lahad Datu: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki barang kawalan tanpa permit dalam operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Silam, di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaaan, lelaki berusia 37 tahun terbabit yang memandu sebuah lori tangki didapati membawa minyak diesel bernilai RM21,500.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati suspek melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa permit.

“Suspek terus ditahan manakala lori dan minyak diesel berkenaan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM181,500 termasuk kenderaan yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata, suspek dan rampas kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|