Juragan bersama 4 PATI cuba masuk Sabah diusir keluar

Juragan bersama 4 PATI cuba masuk Sabah diusir keluar

Sandakan: Cubaan seorang juragan bersama empat individu warga Filipina menceroboh masuk ke perairan negera melalui Pulau Nunuyan, di sini, semalam gagal apabila ditahan sebelum diusir balik ke negara asal mereka.

Semua mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan ketika melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.

Bot dinaiki lima warga Filipina diusir keluar dari perairan negara.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran yang memasuki perairan negara sebelum ia dipintas.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima individu termasuk juragan berada di atas bot dan mendakwa berasal daripada Filipina.

“Bot berkenaan kemudian diusir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, langkah ini bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 dan diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara.

“Ini selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|