Titikberatkan kesiapsiagaan di kawasan sempadan

Titikberatkan kesiapsiagaan di kawasan sempadan

Sandakan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan digesa supaya sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perkara itu perlu dititikberatkan sebagai salah satu daerah yang terletak berhampiran sempadan negara Filipina.

Datuk Idris Abdullah (tengah) hadir Majlis Serah Terima Tugas, Ketua Polis Daerah antara Mohd Azhar (kiri) dan Abdul Fuad.

Katanya, ia bagi memastikan kawasan sempadan negara ini bebas dari sebarang bentuk pencerobohan ataupun aktiviti penyeludupan.

“Pastikan sempadan negara bebas dari sebarang pencerobohan dan penyeludupan, apatah lagi pada ketika ini, isu tuntutan 64 billion kerajaan sulu terhadap Sabah.

“Dalam masa sama, kerajaan Filipina juga kini dalam proses pemilihan Presiden yang dijangka diadakan pada Mei depan,” katanya.

Datuk Idris Abdullah ketika hadir Majlis Serah Terima Tugas, Ketua Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas, Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep di Rumah Kelab IPD Sandakan, di sini, semalam.

Idris berkata, kesiapsiagaan juga perlu diperkukuhkan bagi menghadapi bencana alam dalam fasa peralihan monsun yang bermula sejak 14 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Mei depan.

Katanya, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada cuaca signifikan, namun hujan lebat dan ribut petir dijangka boleh berlaku.

“Justeru, setiap Ketua Polis Daerah diingatkan supaya bersiap sedia dengan segala perancangan dan tindakan sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, bekas Ketua Polis Daerah Sandakan, Mohd Azhar Hamin dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan / Analisa, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Kekosongan jawatan Ketua Polis Daerah Sandakan pula diisi Abdul Fuad Abdul Malek dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|