Pembinaan jambatan Labuan-Sabah perlu dipertimbang: Penganalisis

Pembinaan jambatan Labuan-Sabah perlu dipertimbang: Penganalisis

PENGANALISA politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg mendedahkan terdapat keperluan spesifik berhubung permintaan pembinaan jambatan Labuan untuk memesatkan pembangunan ekonomi, sosio dan taraf hidup rantau ini.

Menurutnya meskipun ada pihak merasakan pembinaan jambatan tersebut adalah tidak perlu pada masa ini, kerana ia dikhuatiri mencetuskan kebimbangan akan menjejaskan beberapa industri seperti perkhidmatan feri dan bot.

Perkhidmatan feri dan bot Labuan-Menumbok, yang merupakan salah satu alternatif laluan utama para penduduk kepulauan itu amat sinonim sejak berdekad lamanya selain perkhidmatan penerbangan dua hala.

“Jika inilah alasannya maka menjadikan pembinaan jambatan Labuan sebagai bukan keutamaan adalah amat mengecewakan penduduk tempatan. Maka dengan itu perlulah dipertimbangkan semula keperluan pembinaan jambatan yang dimaksudkan…

Dr Romzi Ationg

“Hasil daripada pertemuan dengan beberapa pemimpin setempat dan rakyat akar umbi, rata-rata penduduk di Labuan amat berkeyakinan sekiranya ada ruang untuk pembinaan jambatan Labuan itu, maka potensi kepulauan tersebut akan melonjak di masa-masa akan datang.

“Ini termasuklah faktor Labuan mampu menyerupai Pulau Pinang yang pesat membangun dengan adanya jambatan Pulau Pinang, ” katanya.

Dua hari lalu, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan bersempena lawatan rasminya ke Wilayah Persekutuan Labuan telah mendedahkan rancangan pembinaan jambatan Labuan bukan menjadi keutamaan kerajaan buat waktu ini.

Menurutnya, isu rakyat seperti bekalan air menjadi fokus utama untuk diatasi oleh Kerajaan Perpaduan beliau yang menyaksikan peruntukkan RM300 juta seperti mana diumumkan pada Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

Jelas Perdana Menteri, cadangan jambatan menghubungkan penduduk pulau itu dengan tanah besar Sabah dijangka akan menelan belanja RM6 bilion itu masih bukan keutamaan pihak kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Romzi berkata, pengumuman mengatakan jambatan Labuan bukanlah keutamaan akan merencatkan harapan para penduduk setempat.

“Bagi kes Labuan, pengumuman yang diutarakan oleh PMX berkaitan peruntukan bagi penyelesaian masalah setempat sudah semestinya amat menggembirakan mereka terutamanya apabila pembangunan Labuan dilihat semakin melemah.

“Di sebalik kegembiraan itu masih ada keluhan dalam kalangan warga Labuan tentang prospek pembinaan jambatan Labuan .

“Jika inilah alasannya maka menjadikan pembinaan jambatan Labuan sebagai bukan keutamaan adalah amat mengecewakan penduduk tempatan. Maka dengan itu perlulah dipertimbangkan semula keperluan pembinaan jambatan yang dimaksudkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, PMX bagaimanapun amat diyakini akan merealisasikan impian penduduk Labuan memandangkan Perdana Menteri itu dalam proses landasan yang tepat untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik pada tempoh ini.

“PMX muncul sebagai pemimpin negara ketika ekonomi dunia tidak menentu.

“Namun, aspirasinya untuk memastikan keutamaan diberikan terhadap kebajikan rakyat dan tatakelola menyebabkan rakyat semakin teruja mengimpikan peningkatan taraf hidup dan keselesaan mereka. Ini sudah pastinya meliputi pelbagai hal seperti pembangunan infra dan pembasmian kemiskinan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|