Harga barang semakin mahal atau nilai mata wang semakin merosot?

Harga barang semakin mahal atau nilai mata wang semakin merosot?

Ramai membandingkan harga barangan sekarang semakin mahal, semakin tinggi atau semakin naik berbanding harga setahun atau dua tiga tahun lalu, malah 20, 30 atau 40 tahun yang lalu.

Memang benar, bagi yang hidup sejak zaman 1960-an atau 1970-an pasti pernah merasa harga segelas kopi o atau teh o di kedai kopi cuma 20 sen atau 25 sen segelas.

Stok barangan keperluan semakin terhad dan cepat habis kebelakangan ini.

Kemudian harganya naik secara beransur-ansur ke 50 sen, 80 sen dan RM1 segelas pada 1980-an hingga 1990-an, sebelum naik lagi ke RM1.20 hingga RM1.50 segelas pada 2000-an hingga 2010-an.

Terkini, harganya naik lagi hingga RM2 segelas, malah ada sesetengah kedai mungkin mengenakan harga yang lebih tinggi dengan alasan kenaikan harga berlaku di seluruh dunia kesan daripada pandemik Covid-19.

Perbandingan harga secawan kopi o dan teh o pada 1973 dengan harga pada Jun 2022. Gambar dari Facebook

Sememangnya sukar untuk menyalahkan peniaga kerana tiada siapa yang mahu mengalami kerugian meskipun kerap kali juga ada yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Namun, jika dilihat dari aspek nilai mata wang, harga RM2 bagi segelas kopi o pada masa ini mungkin sama dengan nilai 20 sen harga segelas kopi o pada 1960-an hingga 1970-an dulu dengan andaian saiz gelas yang digunakan adalah sama.

Ia bermakna, nilai mata wang kita ketika ini semakin merosot atau murah berbanding 40 tahun yang lalu kerana pengguna perlu mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkan barangan yang suatu ketika dulu harganya cuma sen-sen.

Walaupun harga 20 sen pada masa dulu dianggap sangat murah oleh kita sekarang, namun hakikatnya mungkin mahal bagi mereka yang berada pada zaman itu.

Ramai juga mengaitkan situasi sekarang dengan kenaikan kadar inflasi kerana wang yang ada di tangan kita ketika ini tidak lagi dapat membeli jumlah barangan yang sama seperti yang kita mampu beli beberapa tahun yang lalu.

Contohnya, jika nilai wang tidak berubah, dengan RM1 yang kita ada pada hari ini, kita dapat membeli lima cawan kopi o berdasarkan harga 20 sen secawan pada 1970-an, tetapi hakikatnya memang mustahil.

Kebelakangan ini juga, nilai ringgit dilaporkan menyusut, secara tidak langsung turut memberi kesan kepada ekonomi setempat.

Tidak mustahil juga situasi kenaikan harga semakin bertambah terutama dengan penghapusan subsidi bagi sesetengah barangan seperti minyak masak berbotol, selain impak krisis antarabangsa seperti perang Russia-Ukraine yang dipersalahkan masyarakat seluruh dunia.

Namun, situasi yang berlaku ini lebih dirasai golongan berpendapatan rendah dan tiada pekerjaan tetap, manakala bagi golongan berada dan mereka yang disebut ‘kayangan’ oleh netizen tiada masalah bagi mereka menghadapi situasi ekonomi yang semakin mencabar ini.

Bagi golongn yang memiliki pekerjaan tetap dengan gaji minimum ditetapkan kerajaan, walaupun kita memahami ramai yang berdepan cabaran gaji bulanan tidak mencukupi menampung keperluan keluarga, namun sekurang-kurangnya masih ada yang ditunggu pada setiap hujung bulan.

Apa yang penting, perlu ada perubahan gaya hidup dan amalan perbelanjaan secara berhemah bagi mengelak pembaziran agar tidak terlalu berdepan tekanan kewangan yang merumitkan.

Di samping itu, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar yang lebih berkesan dalam membantu rakyat, khususnya memastikan barangan keperluan asas dapat dikawal dengan sebaiknya agar tidak berlaku kenaikan harga berlebihan.

Pada masa yang sama, pemantauan rapi juga wajar dikuatkuasakan bagi memastikan barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula dan tepung sentiasa ada di pasaran selain mematuhi harga ditetapkan, khususnya produk yang bersubsidi.

Penyelewengan barangan terkawal hingga melangkaui sempadan negara sedangkan sepatutnya hanya diedarkan dalam negara seperti yang banyak dilaporkan media kebelakangan ini juga perlu ditangani dengan berkesan.

Namun, apa yang pasti rakyat terpaksa berbelanja tidak kira berlaku kenaikan harga barangan atau sebaliknya kerana itulah rutin harian kita selaku pengguna, lebih-lebih lagi menjelang tibanya perayaan.

Esok umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha, sudah tentu ramai yang keluar berbelanja dan terpaksa ‘berkorban’ wang yang ada untuk menyediakan hidangan hari raya, setidak-tidaknya untuk berkumpul bersama keluarga.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha, Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|