Dibelasah rakan sekolah, enam ditahan

Dibelasah rakan sekolah, enam ditahan

Kota Kinabalu: Enam pelajar ditahan bagi membantu siasatan membabitkan rakaman seorang pelajar perempuan dibelasah sekumpulan pelajar lain yang tular di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan pakaian yang dipakai salah seorang individu dalam rakaman berdurasi 20 saat berkenaan, kejadian dipercayai membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa pelajar yang dibelasah terbabit.

Katanya, siasatan terus dijalankan dan membawa kepada penahanan enam pelajar berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun.

“Seorang pelajar lagi remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis memandang berat berhubung kes ini dan tidak akan berkompromosi demgan sebarang bentuk perbuatan membuli atau kekerangan melibatkan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memuatnaik sebarang rakaman video yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|