Pastikan tandas lapangan terbang sentiasa bersih – Joniston

Pastikan tandas lapangan terbang sentiasa bersih – Joniston

Penampang: Pihak berkuasa digesa supaya memastikan keadaan kebersihan di semua lapangan terbang di Sabah sentiasa pada tahap memuaskan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata langkah itu bagi memastikan pengunjung berasa dialu-alukan setibanya mereka ke negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat aduan diterimanya mengenai keadaan kebersihan kemudahan asas di negeri ini seperti tandas di lapangan terbang.

“Ia adalah sesuatu yang memalukan dan malang apabila mendengar aduan bukan saja daripada pelancong, malah kapten dalam industri pelancongan, khususnya apabila membandingkan tandas di lapangan terbang kita dengan tandas di lapangan terbang lain.

“Ini sudah tentu mencalar imej industri pelancongan kita. Sebagai penyedia perkhidmatan, kita perlu bertindak secara agresif memperbaiki aspek ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan MATTA Fair Sabah di Pusat Konvensyen dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang; Pengerusi MATTA Sabah Chapter, Lawrence Chin; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma Abdul Rahman.

Joniston berkata isu kebersihan turut dibangkitkan pada mesyuarat lembaga pengarah STB sebelum dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan.

“Mereka ada memberi penjelasan tetapi sekarang masanya untuk meningkatkan lagi usaha kerana orang ramai memerhatikan.

“Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan situasi ini kerana lapangan terbang adalah pintu masuk utama ke negeri ini.

“Saya percaya pihak berkuasa lapangan terbang melakukan yang terbaik. Ia juga penting untuk memastikan lapangan terbang kita terang-benderang untuk memberi kesan yang positif.

“Meskipun kita melakukan banyak usaha untuk memasarkan Sabah sebagai destinasi yang diingini, kita jangan lupa keselesaan pengunjung,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Joniston meminta semua pihak berkepentingan dan peserta industri untuk bekerja bersama lebih tangkas untuk menghidupkan semula sektor pelancongan agar seiring dengan negara jiran.

Beliau turut menggalakkan semua pemain industri untuk meluaskan tawaran perkhidmatan selain meningkatkan usaha promosi mereka dan lebih kreatif.

Sementara itu, Lawrence berkata MATTA Sabah dijangka mampu menjana sehingga RM20 juta jualan sepanjang pameran dua hari yang disertai operator pelancongan dari seluruh negara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|