Kaamatan dan hasil padi, di mana kedudukan Sabah?

Tadau Kaamatan, Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai yang dirayakan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) pada hari ini, suatu ketika dulu hanya sebuah upacara ritual sebagai simbolik kesyukuran etnik berkenaan terhadap hasil tanaman padi.

Padi atau dalam bahasa Kadazandusun disebut ‘parai’ atau ‘bilod’ menjadi tanaman ruji yang sangat penting sebagai sumber makanan di samping pelbagai tanaman lain diusahakan masyarakat KDM sejak zaman berzaman.

Sebab itulah penanaman padi sangat diberi perhatian, malah masyarakat berkenaan mempercayai adanya semangat padi disebut oleh kebanyakan etnik Dusun sebagai Bambarayon yang perlu dipelihara dan dijaga supaya hasil padi yang baik berterusan setiap kali tiba musimnya.

Bambarayon turut dikaitkan dengan legenda Huminodun, seorang gadis yang dikatakan mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan masyarakat Kadazandusun daripada kebuluran disebabkan kekurangan makanan.

Legenda itulah yang menjadi asal usul Unduk Ngadau atau tepatnya pemilihan gadis KDM yang boleh mencontohi Huminodun, namun kini ramai menyalahanggapnya sebagai acara pertandingan ratu cantik semata-mata.

Suatu ketika dahulu, setiap keluarga pasti memiliki sawah atau juga disebut ‘ranau’ atau ‘ranahon’, selain kawasan penanaman padi bukit bagi kawasan tanah tinggi untuk memastikan masyarakat KDM memiliki padi yang mencukupi sebagai sumber makanan sepanjang tahun.

Mereka juga sangat menitikberatkan aspek ritual sebelum menuai padi sebagai simbolik kesyukuran dan terima kasih kepada Bambarayon dan Kinoringan (Tuhan) yang membolehkan mereka menikmati hasil padi atas usaha mereka dalam sesuatu musim penanaman.

Selesai menuai atau ‘mongomot’ maka bergembiralah mereka tanda mensyukuri hasil yang diperolehi pada musim berkenaan dan itulah yang disebut Pesta Kaamatan pada hari ini yang antara lain maksudnya pesta ‘sesudah menuai padi’.

Namun, Pesta Kaamatan yang kemuncaknya disambut hari ini (31 Mei) sudah ‘dimodenkan’, tidak lagi mengambil kira ‘sesudah menuai padi’, maksudnya sama ada padi sudah dituai atau belum, padi ditanam atau tidak, pesta tetap diadakan untuk meramaikan suasana.

Malah, Kaamatan kini lebih dijadikan sebagai produk pelancongan berasaskan kebudayaan masyarakat KDM, kerana lebih mengetengahkan kesenian dan budaya tradisi mereka seperti yang dikumpulkan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang.

Ia memang usaha yang baik dalam memperkenalkan keunikan budaya tradisi masyarakat KDM, sekali gus dapat memeliharanya daripada ancaman kepupusan dan pada masa yang sama menarik kedatangan pelancong yang sudah tentu memberi pulangan ekonomi yang baik kepada Sabah.

Bagaimanapun, di sebalik usaha itu, perlu dilihat juga apa sudah jadi dengan industri penanaman padi yang menjadi asas sambutan Kaamatan di Sabah pada era moden ini serta di mana kedudukan Sabah dalam pengeluaran padi dan beras dalam menampung keperluan makanan rakyat negeri ini.

Apa yang penulis tahu, Sabah sehingga kini hanya mencapai kira-kira 20 peratus tahap sara diri pengeluaran padi, yang bermaksud negeri ini masih sangat bergantung kepada beras import, kebanyakannya dari Thailand dan Vietnam untuk menampung keperluan tempatan.

Sebahagian besar stok beras yang disimpan sebagai jaminan makanan di negeri ini adalah beras import, sedangkan beras keluaran tempatan tidak pernah mencukupi untuk menjamin keperluan rakyat.

Tidak dinafikan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan, namun apa yang menghairankan, penulis sendiri sudah mendengar perkara itu sejak 20 tahun lalu tetapi tiada hasil yang positif dicapai sehingga kini.

Pastinya bukan masalah jelapang padi atau tanah yang sesuai untuk penanaman menjadi punca, memandangkan sawah yang begitu luas ada di Kota Belud, selain di Tuaran, Kota Marudu dan Papar, begitu juga di Tambunan dan Keningau.

Banyak lagi lokasi tanah rendah yang sesuai untuk penanaman padi termasuk di Beluran dan daerah lain, khususnya di sepanjang pantai barat, namun ketika ini banyak yang terbiar dan hanya ditumbuhi rumput atau belukar.

Alasan utama sering ditimbulkan ialah masalah pengairan, namun perkara itu juga dibangkitkan sejak lebih 20 tahun lalu tetapi sehingga kini belum dapat diatasi, sesuatu yang menghairankan lebih-lebih lagi ratusan juta peruntukan pernah disebut-sebut sebelum ini untuk aspek pengairan sahaja.

Jadi, apa sebenarnya masalah dihadapi industri penanaman padi pada era moden ini? Jika diimbau, zaman nenek moyang kita dahulu lebih produktif mengeluarkan hasil padi meskipun hanya menggunakan kerbau untuk membajak dan tulang empat kerat untuk ‘mongomot’ atau membanting padi.

Zaman teknologi serba maju sekarang sepatutnya tiada lagi alasan yang menghalang usaha meningkatkan tanaman padi kerana semuanya menggunakan mesin dan jentera, tidak kiralah untuk membina sistem pengairan, membajak atau menuai padi, tiada lagi bergantung sepenuhnya kepada cangkul, kerbau atau tulang empat kerat.

Apa yang jelas, bagi penulis ialah komitmen atau seperti kata orang politik, ‘political will’ mesti ada khususnya dalam setiap agensi pelaksana untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran padi, sekurang-kurangnya untuk melepasi 50 peratus kerana mungkin ‘mustahil’ untuk kita mencapai sara diri 100 peratus seperti Thailand dan Vietnam.

Mungkin sudah tiba masanya sambutan Kaamatan diberi nafas baharu dengan ikrar tahunan untuk meningkatkan hasil padi berpandukan indeks pencapaian utama (KPI) yang ditetapkan setiap tahun.

Laporan lengkap tahunan perkembangan industri penanaman padi perlu dibentangkan pada setiap kali sambutan Kaamatan peringkat negeri bagi keseluruhan negeri Sabah dan bagi setiap daerah pada sambutan Kaamatan peringkat daerah.

Jika tidak, sampai bilapun kita hanya berbangga menyambut Kaamatan pada setiap tahun tetapi hasil padi masih bergantung kepada import.

Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan, Kabansaian Odou Magayo do Kaamatan, Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Happy Harvest Festival.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|