GRS pelihara kesatuan demi pembangunan Sabah

GRS pelihara kesatuan demi pembangunan Sabah

Kota Kinabalu: Penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang secara rasmi dilancarkan Sabtu lalu bertepatan dengan aspirasi rakyat negeri ini untuk melihat kesatuan dan sebuah kerajaan yang kukuh dalam memastikan pembangunan negeri dapat dipacu dengan lebih berkesan.

Rata-rata rakyat yang ditemui menyuarakan sokongan padu terhadap pembentukan gabungan berkenaan dan berharap segala pelan tindakan yang dirancang dapat direalisasikan.

Barry Motogil

Pekerja sektor swasta yang ditemui, Barry Motogil berkata, sebarang tindakan dalam memastikan pembangunan di Sabah berterusan sememangnya disokong penuh.

Namun katanya, segala yang dijanjikan perlu ditunaikan sebaiknya kerana pembangunan yang dibawa selepas ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah sendiri.

“Kita berharap, hala tuju parti gabungan ini yang diumumkan Sabtu lalu dapat direalisasikan dan seterusnya membangunkan negeri Sabah dengan pesat.

“Banyak hak-hak yang perlu diperjuangkan termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang amat ditunggu-tunggu sehingga kini,” katanya, di sini.

Barry berkata, penubuhan GRS adalah sejarah baharu politik bagi Sabah, namun rakyat mengharapkan perjuangan demi rakyat Sabah ini benar-benar membawa hasil yang positif.

Cyril Supain

“Atau sebaliknya, hanya tinggal janji kenangan dalam sejarah,” katanya.

Penjawat awam, Cyrill Supain ketika ditemui berkata, Sabah memerlukan kepimpinan yang telus dan nekad untuk membawa pembangunan yang berterusan kepada negeri Sabah.

Katanya, sudah pasti, menerusi gabungan seperti GRS akan mampu mengukuhkan lagi perjuangan membabitkan pelbagai komponen parti itu demi rakyat Sabah.

“Penubuhan GRS bakal diuji sama ada diterima atau ditolak oleh rakyat Sabah pada PRU akan datang.

“Gabungan parti di dalam GRS mungkin resipi lama namun dijenamakan semula agar ianya lebih sedap dan segar bagi segelintir rakyat. Apapun Tahniah di atas usaha ini,” katanya.

Cyril berkata, apa yang lebih penting parti yang ditubuhkan ini benar-benar menyelami, mendengar dan berusaha menyediakan apa saja keperluan rakyat.

Katanya, ia terutama keperluan asas seperti jalan raya yang lebih baik, bekalan air bersih , liputan internet telekomunikasi yang lebih meluas sama ada di kawasan bandar atau di luar bandar.

“Rakyat memerlukan perhatian dan tindakan yang sewajarnya ke atas isu-isu semasa seperti masalah kenaikan harga barang, masalah pengangguran dan peluang pekerjaan.

Stephen Chong

“Kerajaan perlu lebih serius dan mempunyai strategi serta tindakan yang jelas dan segera di dalam menangani segala isu-isu yang diutarakan,” katanya.

Sementara itu, Stephen Chong, 27, berkata, GRS akan memjadi pemangkin kepada pembangunan di Sabah.

Katanya, ini kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami segala keperluan dan pembangunan yang diperlukan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|