Polis Tawau tumpas sindiket edar dadah, rampas 7 kilogram syabu

Tawau: Polis Tawau berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah dengan merampas lebih tujuh kilogram syabu dalam operasi di dua lokasi berasingan, di daerah ini, pada 25 Mei lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.10 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan rangkaian sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin (tengah) ketika sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, dua operasi itu dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di Jalan Stephen Tan, di sini, dan berjaya merampas dua kotak bungkusan plastik ‘teh cina’ dengan tertera tulisan ‘Guanyinwang’ yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bungkusan tersebut berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk soal siasat dan kemudiannya membawa kepada serbuan kedua,” katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasat berkenaan, pasukan operasi terus melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada jam 3.40 petang hari yang sama.

Katanya, dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM258,948.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, semua bungkusan berisi dadah jenis syabu berkenaan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier servis untuk pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, suspek terbabit adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sindiket-sindiket yang terbabit dalam kes ini.

“Polis juga telah membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabit kes jenayah.

“Siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|