Penganggur dicekup jual ketum

Penganggur dicekup jual ketum

Keningau: Kegiatan seorang penganggur yang menjadikan aktiviti menjual air ketum sebagai sumber pendapatan utama sejak hujung tahun lalu berakhir, apabila dia diberkas di rumahnya di Kampung Jaya Baru, di sini, hari ini.

Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hasil risikan maklumat kegiatan menjual air ketum.

Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pemeriksaan di bahagian dapur rumah berkenaan, polis menemui sejumlah tiga tong berisi bungkusan plastik sebanyak 110 bungkus.

Katanya, setiap bungkusan itu mengandungi cecair disyaki air ketum anggaran sebanyak 110 liter.

“Semua air ketum berkenaan dirampas dan dianggarkan bernilai RM1,100.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu bergiat aktif menjual cecair disyaki air ketum sejak penghujung tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Rafidah berkata, semakan mendapati suspek seorang penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki cecair dan dedaun yang mengandungi mitragynine yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, gejala penyalahgunaan ketum harus dipandang serius kerana daum ketum mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoatif yang menyebabkan ketagihan.

Katanya, polis ingin menegaskan bahawa memiliki atau menjual sebarang bentuk dedaun atau cecair ketum adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama membanteras kegiatan penyalahgunaan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|