Isu telur ayam: KPDNHEP bincang dengan JPV Sabah esok

Isu telur ayam: KPDNHEP bincang dengan JPV Sabah esok

Kota Kinabalu: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengambil maklum dan menyedari berlaku kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini terutama di Kota Kinabalu.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah untuk mengetahui lebih lanjut berhubung situasi bekalan telur ayam di negeri ini.

“Kami sedar mengenai kekurangan bekalan ini termasuk ada premis yang terpaksa mengehadkan jualan telur ayam iaitu satu papan untuk satu pelanggan.

“Bagaimanapun, isu bekalan telur ayam ini bergantung daripada penternak dan ia adalah di bawah JPV Sabah, jadi esok kami ada mesyuarat dengan mereka untuk mengetahui lebih lanjut adakah penternak ada masalah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi bekalan telur ayam di beberapa kawasan yang semakin berkurangan ketika ini.

Mengulas lanjut, Georgie berkata perkara itu pernah berlaku sebelum ini terutama di Sandakan namun ketika itu dibenarkan untuk mengimport telur ayam dari Semenanjung.

“Namun, ketika ini di Semenanjungpun ada masalah bekalan dan tidak dapat import, jadi itulah masalah.

“Jadi kita mahu tanya esok, telur ayam dari penternak di Sabah cukup atau tidak,” jelasnya.

Terdahulu, Deasoka.com melaporkan pengguna di bandar raya ini berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur ayam berikutan kekurangan bekalan sejak kebelakangan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|