Covid-19 Sabah: Pelajar asrama SM Maktab Sabah cetus Kluster Jalan Pintas Sembulan

Covid-19 Sabah: Pelajar asrama SM Maktab Sabah cetus Kluster Jalan Pintas Sembulan

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, membabitkan sekumpulan pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, di sini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Jalan Pintas Sembulan itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pelajar perempuan dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.

“Kluster institusi pendidikan Jalan Pintas Sembulan melibatkan asrama SM Maktab Sabah, Kota Kinabalu dalam mukim Sembulan. Kes indeks kluster ini adalah seorang pelajar perempuan, warganegara, berumur 15 tahun yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

“Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 dan telah menjalani ujian PCR pada hari yang sama sebelum didapati positif. Kes telah dimasukkan ke PKRC untuk tujuan kuarantin dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi berkata, seramai 79 orang kontak rapat sudah disaring dan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi Kluster Jalan Pintas Sembulan itu seramai 18 orang, setakat ini.

Bagaimanapun, katanya semua yang didapati positif berada dalam kategori bergejala ringan iaitu Kategori 2 dan sudah dihantar ke pusat kuarantin selain menerima rawatan yang sesuai.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata selain kluster institusi pendidikan, satu lagi kluster berkaitan tempat kerja dilaporkan di Kunak hari ini.

Katanya, Kluster Giram yang berlaku di Ladang Giram, Kunak diisytiharkan selepas kes indeks, iaitu seorang lelaki warganegara berumur 37 tahun mula bergejala (selesma dan batuk) pada 31 Januari lalu dan menjalani saringan di klinik swasta pada hari yang sama sebelum didapati positif Covid-19.

“Saringan terhadap kontak sekerja dan kontak keluarga mendapati 19 lagi kes positif. Jumlah kumulatif kluster ini sebanyak 20 kes dengan tiga kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|