Penemuan kubur, petunjuk baharu kes letupan bot

Penemuan kubur, petunjuk baharu kes letupan bot

Semporna: Polis menemui petunjuk baharu membabitkan kes siasatan kes letupan bot di perairan Pulau Tatagan dengan penemuan kubur baharu di Tanah Perkuburan Kampung Halo, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mayat yang ditanam itu dipercayai mangsa kepada kejadian letupan bot berkenaan.

Katanya, susulan itu, seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Astari dicari bagi membantu siasatan lanjut.

“Mayat yang ditanam itu dipercayai anak kepada Astari yang berusia 10 tahun. Mangsa maut selepas berlaku letupan bot dipercayai berpunca daripada bom ikan.

“Pihak polis sudah mendapatkan perintah mahkamah dan proses menggali kubur dijalankan pasukan forensik polis termasuk pasukan perubatan dari Hospital Semporna untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Mohd Farhan berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung Astari boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 019-8139851 atau 089-782020.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Susulan perkembangan terbaharu itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang selepas dipercayai terkena letupan bot itu ditamatkan, semalam,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya melaporkan maklumat berkaitan kegiatan bom ikan di daerah ini.

Katanya, aktiviti berkenaan adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|