UMNO Sabah ada kekuatan tersendiri – Ahmad Zahid

UMNO Sabah ada kekuatan tersendiri – Ahmad Zahid

Kuala Lumpur: UMNO Sabah diyakini memiliki kekuatan tersendiri untuk meneruskan perjuangan parti itu di Sabah meskipun berdepan pelbagai ujian sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keyakinan itu disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malah beliau menggesa semangat dimiliki UMNO Sabah dijadikan contoh dalam usaha memastikan parti itu terus relevan membawa agenda membela nasib rakyat.

Ahmad Zahid bersama Bung Moktar dan pemimpin UMNO Sabah pada perjumpaan di Kuala Lumpur.

Bercakap pada pertemuan bersama pemimpin UMNO Sabah, di sini, semalam, Ahmad Zahid berkata UMNO di negeri itu membuktikan ia mampu bangkit walaupun dilihat ‘tiada masa hadapan’ setelah apa yang berlaku selepas PRU-14 pada 2018.

“UMNO Sabah istiqamah dalam usaha politik, ertinya UMNO perlu belajar dari semangat kepemimpinan dan ahli akar umbi UMNO Sabah kerana ketika itu seolah-olah parti ini tiada masa hadapan.

“Dari 25 bahagian UMNO Sabah, 22 Ketua Bahagian meletak jawatan dan membubarkan UMNO di bahagian masing-masing tetapi jelas di bawah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan dua lagi ketua bahagian rupanya UMNO masih relevan di Sabah.

“Bukan sahaja relevan malah bertambah kuat dengan adanya kepimpinan baharu dan kita lihat bagaimana ‘game changer’ ini dilakukan. Dalilnya apabila kita menang 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 dan sebenarnya kita boleh menang lebih daripada 14 kerusi sekiranya tidak ada helah politik,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalannya, Datuk Yakub Khan dan kepimpinan bahagian UMNO Sabah.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian dilakukan UMNO Sabah itu secara tidak langsung menaikkan lagi semangat kepada kepemimpinan UMNO negeri untuk memastikan UMNO terus kekal kukuh di Sabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya beritahu kepada Bung Moktar muslihat politik sudah berlalu tetapi jika ada PRU-15 di Sabah untuk kerusi Parlimen dan jika ada pilihan raya negeri yang baharu nanti saya amat yakin bahawa UMNO akan dominan semula untuk memerintah Sabah.

“Nasib kita ditentukan oleh Allah dengan syarat perkukuhkan barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengingatkan agar ahli dan pemimpin UMNO negeri tidak leka dengan pujian hingga menjejaskan usaha parti itu untuk terus mengukuhkan kedudukannya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|