Pencarian dua pemancing ditangguh hingga ada petunjuk baharu

Pencarian dua pemancing ditangguh hingga ada petunjuk baharu

Semporna: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pemancing yang hilang sejak Sabtu lalu, di perairan Pulau Mataking, di sini, ditangguh jam 11.42 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR hari ketiga bermula jam 9 pagi tadi dengan radius pencarian 20 Kilometer persegi dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

“Selepas perbincangan bersama agensi penyelamat lain dan juga keluarga mangsa, operasi SAR ditangguhkan jam 11.42 pagi memandangkan tiada tanda-tanda positif bahawa mangsa dapat ditemui.

“Bagaimanapun operasi SAR akan disambung semula jika terdapat petunjuk baru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi SAR turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Pasukan Polis Marin (PPM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); dan Taman-Taman Sabah (TTS).

Dalam kejadian Sabtu lalu, dua pemancing dikenali sebagai Makbul dan Azip Kiram dikatakan keluar memancing namun sehingga kini masih belum pulang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|