Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah fokus sekolah daif, tidak selamat

Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah fokus sekolah daif, tidak selamat

Kota Kinabalu: Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi tumpuan terhadap usaha mendapatkan maklumat berhubung sekolah daif dan tidak selamat di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jawatankuasa yang dipengerusikannya itu turut membabitkan 15 ahli jawatankuasa lain termasuk Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

Mohd Arifin bersama Masidi ketika melancarkan Program BAGUS, BISBAH dan AKSA di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu.

“Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi fokus kepada mendapatkan maklumat sekolah-sekolah daif dan sekolah yang tidak selamat di Sabah.

“Kita akan bermesyuarat dua bulan sekali untuk bersama-sama berbincang dalam mencari penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi sekolah-sekolah terutama di kawasan pedalaman,” katanya kepada media di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Pelancaran Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Pendidikan negeri berkata, pihaknya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan sentiasa mengambil tahu keadaan yang dihadapi murid dan pelajar di negeri ini.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing untuk mengetahui situasi yang sebenar. InsyaAllah, kita akan berbincang untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

“Kita akan membuat jelajah pada awal Februari ini ke PPD seluruh Sabah dan kita termasuk ADUN kawasan sentiasa ambil peduli berhubung perkara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|