101 pelajar dikuarantin di Sandakan

101 pelajar dikuarantin di Sandakan

Sandakan: Seramai 101 pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih, di sini, selepas menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

Penyelaras PKRC berkenaan, Kepten Abdullah Sabaruddin, yang juga Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, berkata pelajar terbabit dimasukkan ke pusat berkenaan sejak semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 61 adalah pelajar lelaki manakala selebihnya pelajar perempuan.

“Seramai 101 orang telah dimasukkan ke pusat kuarantin ini yang mana dari segi pecahannya 61 adalah pelajar lelaki dan 40 pelajar wanita. Semua mereka adalah pelajar asrama,” katanya, di sini, hari ini.

Katanya, susulan daripada keadaan berkenaan, pihaknya meningkatkan tahap kesediaan dalam berhadapan sebarang kemungkinan berkaitan kes Covid-19 di daerah ini.

“Secara umumnya pusat kuarantin ini memang sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan adanya kontak rapat daripada kluster seperti yang terjadi kepada pelajar-pelajar ini.

“Jadi, persiapan kami di pusat kuarantin ialah sentiasa menyediakan keperluan asas yang diperlukan oleh penghuni yang akan masuk ke sini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|