Cuba lari dari polis ditahan bersama satu kilogram syabu

Cuba lari dari polis ditahan bersama satu kilogram syabu

Sandakan: Cubaan dua lelaki melarikan diri daripada polis di sebuah stesen minyak Batu 9, di sini, gagal apabila ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 1,039.43 gram bernilai RM36,000, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, ketika ditahan dan pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek menemui bungkusan plastik dipercayai berisi dadah jenis Methaphetamine atau syabu.

“Anggaran berat syabu yang dirampas 1,039.43 gram dengan nilai pasaran gelap dianggarkan berjumlah RM36,000.

“Ketika ditahan kedua-dua suspek cuba melawan dan melarikan diri sehingga berlaku pergelutan namun suspek berjaya diberkas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, hasil ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah Amphetamine dan Methaphetamine.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|