Pasangan suami isteri didakwa halang tugas polis

Pasangan suami isteri didakwa halang tugas polis

Kota Kinabalu: Sepasang suami isteri yang tular selepas melarikan diri dengan memecut kenderaan sehingga memaksa polis melepaskan tembakan, di sini, baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam atas dakwaan menghalang tugas polis.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Mahathir Peer Muhamad, 24, dan isterinya Liza Nasir, 25, memohon dibicarakan mengikut pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Pasangan terbabit dituduh menghalang pihak polis untuk menjalankan tugas dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens kira-kira jam 10.15 pagi, 11 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 dan 22 Februari depan untuk pengurusan kes masing-masing.

Sementara itu, Mahathir dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan dua penjamin tempatan manakala isterinya tidak dibenarkan diikat jamin kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Mahathir diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence manakala isterinya tidak diwakili. Pendakwaan pula dikendalikab Inspektor Kelvan Elson Maik.

Dalam kejadian pada 11 Januari lalu, kedua-dua tertuduh bersama tiga lagi rakan mereka pada awalnya ditahan di Tanjung Aru, di sini, untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka tiba-tiba bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan yang dinaiki sehingga terpaksa dikejar oleh pasukan polis peronda.

Polis kemudiannya dilaporkan terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan selepas hampir dirempuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|