RM35 juta diperuntukkan untuk tiga inisiatif pembangunan pendidikan di Sabah tahun ini

RM35 juta diperuntukkan untuk tiga inisiatif pembangunan pendidikan di Sabah tahun ini

Kota Kinabalu: Sebanyak RM35 juta diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif pembangunan pendidikan yang merangkumi tiga program baharu oleh kerajaan negeri bagi tahun ini.

Tiga program itu yang dikenali sebagai Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022 adalah selaras dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memartabatkan pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada September 2020, kerajaan GRS meletakkan portfolio pendidikan di bawah bidang kuasa Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas supaya perhatian khusus dapat diberikan kepada hal ehwal pendidikan Sabah.

“Ini tidak bermakna kerajaan negeri mengambil alih peranan dan tanggungjawab Persekutuan di Sabah, sebaliknya inisiatif itu adalah untuk melengkapkan program yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di Sabah,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan
Bakti dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022, di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Tambah Hajiji lagi, kerajaan negeri serius dalam memastikan anak-anak di Sabah mendapat bantuan sebaik mungkin dan mencapai kecemerlangan akademik.

“Ini selaras dengan teras kedua pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan GRS yang memperkasakan modal insan Sabah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program BAGUS yang menyaksikan setiap PIBG di 1,500 sekolah menerima peruntukan sebanyak RM2,000 untuk menjalankan aktiviti masing-masing pada tahun ini.

“Menerusi inisiatif BISBAH, sebanyak RM12 juta diperuntukkan untuk membantu 1,500 sekolah di seluruh negeri bagi memperolehi komputer, mesin pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja dan kerusi.

“Kerajaan negeri juga akan memberi pengiktirafan khas kepada pelajar cemerlang Sabah yang cemerlang dalam akademik dan pengiktirafan khas kerajaan negeri akan dikenali sebagai AKSA,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, selain daripada itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan bantuan lain yang diberikan pada 2021 iaitu Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).

“Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan sebanyak RM15 juta untuk pembelian komputer riba di bawah program BAIK bagi membantu 10,000 pelajar yang memerlukan khususnya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melalui pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) disebabkan pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM10 juta tahun lalu untuk membantu 5,000 pelajar membayar yuran pendaftaran di bawah Bantuan BUDI dengan mereka yang mengikuti pengajian diploma mendapat RM1,500 dan RM2,000 bagi mereka yang mengikuti kursus ijazah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi RM200 seorang kepada 40,277 pelajar Sabah yang mendaftar untuk menduduki SPM, STPM dan STAM tahun lalu di bawah Bantuan Khas Tunai dan program BAKTI turut menelan belanja RM8.055 juta.

“Memandangkan peperiksaan SPM, STAM dan STPM 2021 ditangguhkan ke Mac tahun ini, bantuan BAKTI 2021 telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk diagihkan kepada penerima.

“Selaras dengan komitmen membangunkan modal insan melalui pendidikan dalam Bajet Negeri 2022, sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan sebagai biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi permintaan pasaran masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan, justeru RM13.9 juta turut diperuntukkan untuk membantu 289,204 pelajar membeli pakaian sekolah, kasut dan alat tulis di bawah Program Bantuan Sosial
Sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|