Tiada kompromi terhadap pengamal perubatan swasta, ngo yang terbabit kes pemalsuan sijil vaksinasi

Tiada kompromi terhadap pengamal perubatan swasta, ngo yang terbabit kes pemalsuan sijil vaksinasi

Kota Kinabalu: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan polisi ditetapkan kerajaan serta ProtectHealth.

Menerusi satu kenyataan hari ini, badan tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menyatakan pendirian berkenaan susulan beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu Covid-19.

ProtectHealth turut menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki berlaku sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Ini boleh bertindak sebagai penghalang
untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin. ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Semua pengamal perubatan swasta (PPS) di bawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM.

“Ini adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan adalah sahih dan termaktub dalam akta yang berkaitan.

“Selain itu, PPS dan NGO kesihatan juga
diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi dan menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, bagi memastikan PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut SOP ditetapkan KKM dan ProtectHealth, audit rawak ke atas PPS dilakukan secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, jika berlaku sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS dan NGO kesihatan terbabit daripada menjalankan vaksinasi menerusi PICK.

“Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth.

“Selain itu, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera.

“Semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin,” katanya.

Tegasnya, ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO kesihatan yang didapati mempunyai sebarang salah laku yang berkaitan dengan aktviti vaksinasi dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika PPS dan NGO kesihatan di bawahnya turut terbabit.

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana pembabitan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|