Tawau: Seorang pemandu lori ditahan polis selepas didapati membawa dadah jenis syabu dalam pemeriksaan jalan di kilometer 143.5 Jalan Sapulut – Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 11.30 malam itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati memiliki dua paket syabu seberat 0.53 gram.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, suspek berjaya dikesan ketika cuba melepasi Road Check Point (RCP) Kalabakan.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu tiub straw warna hijau dan satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.53 gram dan kenderaan jenis lori lima tan yang digunakan suspek turut disita untuk membantu siasatan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta yang sama.
-Deasoka