Pesta Kaamatan bawa kestabilan dan kemakmuran kepada Sabah

Kota Kinabalu: Penganjuran Pesta Kaamatan sentiasa membawa impak positif sehingga memberi kestabilan dan kemakmuran kepada negeri Sabah.

Perayaan itu juga dilihat sebagai salah satu medium untuk mempromosikan Sabah di mata dunia dengan kekayaan kepelbagaian tradisi dan kebudayaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat DUN Karambunai, Romeo Ansow

Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Romeo Ansow berkata, Pesta Kaamatan bukan lagi semata-mata untuk kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) saja.

Malah katanya, perayaan yang disambut setiap tahun itu amat jelas sudah sebati dengan seluruh kaum di negeri ini.

“Ia jelas dapat dilihat menerusi pembabitan orang ramai daripada pelbagai kaum lain setiap kali sambutan Pesta Kaamatan diadakan.

“Pesta Kaamatan dapat menghimpunkan pelbagai masyarakat tidak kira dari segi usia sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas yang turut sama mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Pesta Kaamatan peringkat DUN N16 Karambunai.

Romeo yang juga Pengerusi UMNO KDMR Sepanggar berkata, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perayaan yang begitu signifikan dan penting itu akan terus menjadi tarikan untuk negeri Sabah.

Sementara itu, Romeo berkata, sambutan yang diadakan selama dua hari itu akan diadakan pada 10 dan 11 Jun ini di Dewan Sarayo, Kampung Malawa, di sini.

Katanya, ia dijangka dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan.

“Kita amat berbesar hati untuk menjemput masyarakat setempat hadir memeriahkan lagi sambutan Pesta Kaamatan kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|