Sukaneka mantapkan perpaduan penduduk Kampung Bariawa Ulu

Keningau: Pelbagai acara sukaneka diadakan sempena sambutan Kaamatan dan Hari Raya Kampung Bariawa Ulu, di sini, anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kumpulan belia kampung berkenaan, baru-baru ini.

Pengerusi JPKK merangkap Pengerusi Pelaksana Sukaneka Bariawa Ulu, Haidie Kunsalam.

Pengerusi JPKK Bariawa Ulu yang juga pengerusi pelaksana sukaneka, Haidie Kunsalam berkata aktiviti berkenaan bertujuan memperkukuhkan hubungan silaturrahim sesama penduduk di samping sebagai hiburan setelah hampir dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat Covid-19.

Setiausaha Pelaksana, Amat Khairi Kasimin.

Katanya, aktiviti seumpama itu sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat sama ada kanak-kanak, golongan muda ataupun orang lama.

Sementara itu, setiausaha pelaksana, Amat Khairi Kasimin berkata acara sukaneka dimulakan pada setiap hujung minggu selama tiga minggu dengan pelbagai acara diadakan.

Acara tarik tali lelaki bujang lawan lelaki berkahwin.

Beliau berkata acara dibahagikan kepada beberapa kumpulan bermula daripada kanak-kanak, kumpulan remaja, pemuda dan kumpulan orang lama yang disertai oleh lelaki dan wanita.

Antara acara yang dipertandingkan adalah tarik tali, lontar peluru, merentas desa, lari 100 meter bujang, berkahwin lelaki dan wanita, futsal berkain sarung lelaki bujang lawan lelaki berkahwin, rebut duduk kerusi berirama lelaki dan wanita berumur 50 tahun serta beberapa lagi acara untuk kanak-kanak.

Acara gunti tangan antara Nursidi (kiri) dan Jusli (kanan).

Amat Khairi berkata semua permainan diadakan bermula jam 7 pagi hingga selesai.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang bertungkus lumus menyedia dan melaksanakan tugas yang diamanahkan sehingga program tersebut berjaya diadakan, selain Ketua Kampung Bariawa Ulu, Sanusi @ Michel Tundou kerana memberikan sokongan padu terhadap aktiviti yang dijalankan.

Antara peserta acara boling kelapa, Saribi Kassim.

“Terima kasih juga kepada semua penduduk Kampung Bariawa Ulu atas komitmen yang diberikan sehingga semua aktiviti dapat dilangsungkan dengan sempurna.

“Tidak lupa juga kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga dan kewangan bagi melicinkan perjalanan sukaneka.

Ketua Kampung Bariawa Ulu, Senusi@ Micheal Tundou menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang acara wanita.

“InsyaAllah jika tiada aral melintang kita akan teruskan lagi aktiviti ini pada masa hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|