Penampang: Seramai 28 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan terhadap sebuah pusat hiburan di kawasan kedai Pekan Koidupan, Jalan Penampang Baru, di sini, malam tadi.
Dalam operasi jam 11.40 malam itu, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan membabitkan enam lelaki serta 22 wanita membabitkan pekerja dan GRO.

Jurucakap JIM Sabah berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 75 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis ditahan bagi menjalani pemeriksaan dokumentasi.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 28 daripada individu terbabit gagal mempamerkan dokumen diri yang sah dan melanggar akta imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah membabitkan lima lelaki dan 15 wanita warganegara Filipina serta seorang lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.
“Mereka yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, ada juga individu yang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Sementara itu, jurucakap JIM Sabah berkata, Operasi Bersepadu Gegar JIM Sabah itu dijalankan dengan kekuatan seramai 37 pegawai dan anggota.
-Deasoka