Minyak masak bersubsidi bernilai RM6,060 dirampas

Tawau: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup keluar minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau itu, semua minyak masak berkenaan dianggarkan bernilai RM6,060 berdasarkan harga pasaran semasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah membuat serbuan terhadap sebuah rumah atas air di kampung berkenaan.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai antara individu terbabit dalam kes penyeludupan berkenaan terus ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil serbuan, pasukan operasi menemui longgokan kotak berwarna coklat yang mengandungi minyak masak peket pelbagai jenama.

“Ia dipercayai disimpan di rumah berkenaan yang dijadikan sebagai stor sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, suspek dan rampasan terus dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|