Kota Marudu: Seorang lelaki warga emas hilang selepas keluar dari rumah untuk kebun miliknya di Kampung Mangkaluah, di sini, semalam.
Mangsa berusia 80 tahun terbabit dikatakan sehingga kini gagal dikesan ahli keluarga sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 9.59 pagi.
Katanya, laporan dibuat selepas mangsa disedari hilang oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa berusia 80 tahun itu gagal ditemui sejak 4.30 petang kelmarin.
“Bertindak dengan laporan, sepasukan pegawai serta anggota dari BBP Kota Marudu digerakkan ke lokasi sejauh 12 kilometer bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian giat dilaksanakan berhampiran lokasi mangsa hilang dan perkembangan kejadian akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka