Pemancing hilang di Sungai Bauto, ditemui meninggal dunia

Pemancing hilang di Sungai Bauto, ditemui meninggal dunia

Telupid: Seorang pemancing yang dicari sejak tengah hari semalam, ditemui meninggal dunia kira-kira enam kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa, Idham Olah, 46, disahkan meninggal dunia oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ditemui pasukan bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi pencarian dengan dibantu orang awam.

Mangsa ditemui kira-kira enam kilometer daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi hari kedua dimulakan pada jam 8.20 pagi tadi.

Katanya, operasi disambung di sepanjang pesisir sungai menggunakan bot bersama PDRM dan orang awam kira-kira dua kilometer dari lokasi mengsa dikhuatiri hilang.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui pada jam 10 pagi tadi kira-kira enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa hilang.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengangkat mangsa dan kemudiannya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.05 pagi.

Dalam kejadian semalam, mangsa yang melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan dilaporkan hilang pada jam 11.43 pagi.

Pasukan bomba dan penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian terus menjalankan aktiviti pencarian pada jarak 200 meter sepanjang sungai dari lokasi mangsa mula hilang sebelum operasi ditangguhkan dan disambung hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|