Tujuh tempat lagi ditawarkan dalam RBUN 2022

Tujuh tempat lagi ditawarkan dalam RBUN 2022

Kota Kinabalu: Tujuh tempat lagi ditawarkan untuk menyertai Pertandingan Real Beauty Unduk Ngadau (RBUN) 2022 anjuran pengeluar produk kecantikan Real Beauty Sdn Bhd (Arby).

Penyertaaan yang dibuka sejak 10 Mac lalu itu akan berakhir tengah malam ini dengan seramai 23 peserta sudah mendaftarkan diri setakat ini, termasuk seorang peserta termuda baru selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPN) berumur 18 tahun.


Rejanah Bahanda ketika sidang media RBUN 2022 di pejabatnya.

RBUN hanya menerima seramai 30 peserta berumur antara 18 hingga 30 tahun untuk menyertai pertandingan berkenaan yang kini memasuki tahun ketiga dengan tawaran hadiah keseluruhan kali ini berjumlah RM50,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Real Beauty Sdn Bhd, Rejanah Bahanda, berkata RBUN membuka peluang kepada semua wanita bujang untuk menyertai pertandingan itu tanpa syarat ketinggian.

“Kita bukan mahu cari orang yang perfect untuk RBUN ini. Kita tarim peserta sebab ini juga melibatkan ‘marketing’ kerana kita menjual produk.

“Ciri-ciri yang kita akan lihat adalah dari segi ‘intelligence’, rupa paras dan komitmen. Komitmen adalah paling penting sebab kita akan gunakan peserta-peserta ini juga untuk photoshoot, video shoot iklan Real Beauty Arby.

“Jadi maksudnya walaupun hadiah dia tu, contohnya juara adalah RM5,000 dari segi cash, tetapi ‘in the future’ kita akan bawa mereka untuk ‘shooting’ dan kita akan bayar mereka.

“Kita tidak hanya panggil mereka dan buat shooting secara percuma,tidak. Kita akan bayar mereka apabila kita panggil untuk ‘shooting’ atau terlibat dengan Real Beauty,” katanya pada sidang media RBUN 2022, di sini, hari ini.

Untuk rekod, acara perasmian berkenaan akan dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Katanya, tarikh tutup penyertaan iaitu sehingga 28 Mac tidak akan dilanjutkan memandangkan jadual pertandingan sudah disusun termasuk untuk membawa peserta ke lokasi menarik pelancongan seperti di Matunggong, Kundasang dan Keningau.

Penyertaan RBUN kali ini dikenakan yuran RM100 seorang yang boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi Facebook RBUN.

Selain lima hadiah utama bermula dari tempat kelima (RM600), keempat (RM800), ketiga (RM1,000), kedua (RM2,000) dan pertama (RM5,000), peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah iringan.

Malah, johan atau pemenang tempat pertama yang berjaya pada pertandingan akhir 7 Mei depan yang diadakan di Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah turut menerima barangan Skin Care Real Beauty (Arby) selama setahun.

Sebanyak 11 gelaran atau ‘Subsidiaries Title’ dengan hadiah menarik turut menanti peserta pertandingan RBUN kali ini Miss Social Media, Miss RBUN SuperStar, Miss Most Video Viewed, Miss Best Cat Walk, Best Evening Gown, Best Make Up Looks, Miss Arby’s Choice, Miss Photogenic, Miss Best Talent, Miss Body Beautiful dan Best Ethnic Costume.

Selain itu, tiga lagi gelaran ditambah dalam pertandingan kali ini iaitu Miss Best in Evening Gown, Miss Best Personality dan Best Manager.

Rejanah berkata sebelum ini berkata keputusan menganjurkan pertandingan berkenaan pada tahun ini berdasarkan sambutan menggalakkan dalam edisi pertama dan kedua pada 2020 dan 2021 walaupun diadakan sepenuhnya secara dalam talian disebabkan pandemik Covid-19.

“RBUN mendapat sambutan tinggi selama dua tahun, jadi tahun ini Real Beauty Unduk Ngadau datang dengan inovasi dan pembaharuan yang baharu dan lebih baik berbanding sebelumnya.

“Untuk tahun 2022 ini, memandangkan kerajaan melonggarkan arahan SOP Covid-19, pihak kami mengambil peluang ini untuk membuat pembaharuan.

“Sepanjang semi final RBUN ini akan diadakan secara dalam talian, manakala untuk Peringkat Akhir (Finale), kita akan buat secara Visual (Offline) di dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS),” katanya.

Syarat lain yang ditetapkan, katanya ialah setiap peserta perlu menyediakan rakaman video dan gambar mengikut format yang ditentukan oleh pihak penganjur.

Rakaman video katanya perlu menggunakan bahasa ibunda peserta seperti Dusun, Rungus dan sebagainya, bermula dengan pengenalan diri selama 30 saat, disusuli pengenalan pakaian tradisi juga 30 saat.

Gambar dan rakaman video yang dibuat peserta, katanya perlu asli tanpa sebarang pengubahsuaian imej secara digital dan dihantar ke emel realbeautysb@gmail.com.

Rejanah berkata, peringkat semi final, pertandingan akan dibuat secara dalam talian menerusi platform Facebook Live selama empat minggu di Facebook Page Real Beauty Arby, setiap hari Isnin sehingga Khamis bermula dengan sesi pengenalan pada 4 April dan Semi Final Episod 1 pada 5 April.

“Masa ini penyokong boleh berikan Stars (bintang) kepada peserta pilihan mereka. Cara pengundian untuk Semi Final ialah 50 peratus melalui pembelian produk Arby, 30 peratus melalui Facebook Star dan 20 peratus melalui SenangPay.

“Dalam semi final ni, peserta akan didedahkan dengan pengetahuan tentang lokal masyarakat Sabah. Aktiviti yang ada, lawatan amal (Charity) yang sehaluan dengan kerja amal Real Beauty Sdn Bhd iaitu #Prihatin.

“Peserta juga akan melawat tempat-tempat pelancongan di Sabah untuk mempromosikan pelancongan negeri Sabah. Bagi setiap pembelian, lima peratus akan disumbangkan ke dalam tabung amal yang akan disumbangkan kepada rumah-rumah amal di Sabah,” katanya.

Tarikh RBUN peringkat akhir katanya diadakan pada 7 Mei depan secara hibrid show (online dan fizikal) di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS) dengan hanya 10 peserta layak sebagai finalist.

Malam Gala Night RBUN 2022 turut diadakan pada 6 Mei depan melibatkan semua peserta.

Pada peringkat akhir itu, katanya peserta akan dinilai oleh juri professional sebanyak 50 peratus dan undian pihak awam sebanyak 50 peratus.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|