Jururawat kerugian RM50,000 ditipu Macau Scam

Jururawat kerugian RM50,000 ditipu Macau Scam

Beaufort: Seorang jururawat kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 44 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu mengaku kakitangan LHDN ketika berada di pekan Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob.

Individu itu memaklumkan kononnya nama mangsa didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,800 yang tidak berbayar.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua suspek kononnya pegawai polis di Unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

“Kedua-dua ‘pegawai polis’ menyatakan kepada mangsa waran tangkap telah dikeluarkan untuk tindakan lanjut.

“Oleh kerana panik, mangsa memberikan butiran akaun bank dan kata laluan dua akaun miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, kira-kira jam 9 malam tadi, mangsa membuat semakan kedua-dua akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM50,000 telah dipindahkan melalui Duitnow dengan menggunakan nombor telefon dan nama individu yang tidak dikenali.

“Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada jam 10.26 malam tadi.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

“Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|