Kerajaan Pusat diminta tambah peruntukan bina rumah PPRT

Kerajaan Pusat diminta tambah peruntukan bina rumah PPRT

Kota Kinabalu: Kerajaan persekutuan diharap dapat menambahkan lagi peruntukan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima bantuan berkenaan.

Yakub menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan rumah PPRT.

Namun katanya, untuk tahun lalu, pihaknya hanya menerima sebanyak 14 peruntukan rumah PPRT dan ia diharap akan ditambah lagi pada tahun ini.

“Saya akan usahakan lagi lebih banyak bantuan rumah PPRT untuk membantu mereka yang memerlukan.

Yakub berbual dengan penerima rumah PPRT di Kampung Tebobon, Manggatal.

“Kita sememangnya sudah kenal pasti, cuma jumlah rumah yang diperlukan banyak dan terpaksa dibuat secara bergilir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tebobon, di sini, hari ini.

Yakub berkata, walaupun dua lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sepanggar diwakili pembangkang namun beliau tetap memberi perhatian.

“Saya tetap beri perhatian kepada kawasan yang diwakili pembangkang. Malah hari ini, dua daripada enam rumah yang diserahkan adalah di kawasan DUN Darau dan DUN Inanam.

“Harap rayuan ini dapati didengari oleh Kerajaan Pusat dan seterusnya memberikan bantuan lebih untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|