9 pemancing berpaut pada bot terbalik sebelum diselamatkan

9 pemancing berpaut pada bot terbalik sebelum diselamatkan

Tawau: Sembilan lelaki terpaksa berpaut pada bot yang terbalik sebelum ditemui anak kapal Orietal King yang berlabuh berhampiran perairan Tinagat, semalam.

Dalam kejadian itu, semua mangsa yang juga pemancing berusia antara 30 hingga 51 tahun itu berjaya diselamat pada jam 1.10 petang.

Antara mangsa yang diselamatkan selepas bot yang mereka naiki terbalik dalam kejadian di perairan Tinagat, Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi CARILAMAT kira-kira jam 8.40 pagi untuk mengesan dan mencari sembilan pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki dilaporkan terbalik akibat melanggar objek terapung.

“Sejurus menerima maklumat, bot ronda yang berada dalam sektor operasi digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan mengesan kedudukan sebenar bot yang dilaporkan, seterusnya Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) turut dibuka di pantai Kampung Batu Payung bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas ditemui anak kapal yang sedang berlabuh di kawasan berhampiran.

“Kesemua mangsa seterusnya dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia dan dibawa ke PHC bagi menjalani pemeriksaan kesihatandan serta diambil keterangan.

“Menurut mangsa, semua mereka keluar untuk memancing dan tiba-tiba berlaku perlanggaran dengan objek terapung yang mengakibatkan bot tersebut terbalik lalu kesemua mereka tercampak ke laut,” katanya.

Terdahulu, Siva Kumar berkata, Op CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritim Malaysia turut disertai agensi keselamatan serta pasukan lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta komuniti setempat.

“Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca buruk semasa menjalankan aktiviti di laut dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|