PDRM Sabah pandang serius isu waris Sulu rekrut rakyat di Lahad Datu

PDRM Sabah pandang serius isu waris Sulu rekrut rakyat di Lahad Datu

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu tular berhubung dakwaan waris Sulu sedang aktif merekrut rakyat di daerah Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, dakwaan berkenaan tular di media sosial sejak akhir-akhirnya ini.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud sebarang kumpulan yang merekrut rakyat warga Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

“Polis Sabah sedang menjalankan siasatan berkaitan satu kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Kumpulan ini adalah tindakan orang perseorangan yang mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah meminta mana-mana pihak atau individu supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih.

Katanya, ia dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di negeri ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu.

Ia didakwa merekrut dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu.

Menurut Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sukarelawan MHO di Sabah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Gerakan berkenaan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

“Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|