Kekurangan tenaga kerja jejas ekonomi Sabah menjelang 2024

Kekurangan tenaga kerja jejas ekonomi Sabah menjelang 2024

Tawau: Sabah dijangka berdepan risiko kemerosotan ekonomi pada 2024 jika isu kekurangan sumber tenaga kerja sektor perladangan, pembinaan dan pertanian tidak diatasi.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, berdasarkan rekod semasa, kira-kira 200,000 pekerja tempatan keluar mencari pekerjaan di negeri lain setiap tahun.

Beliau berkata, pengumuman perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan juga berpotensi menarik tenaga kerja dari negara itu yang kini bekerja di Sabah untuk kembali ke Indonesia.

“Kita sedia maklum kebanyakan tenaga kerja tiga sektor itu bergantung kepada rakyat asing dan sekiranya mereka kembali ke negara asal sudah pasti ia akan mendatangkan masalah.

“Justeru, pihak industri, kerajaan negeri dan persekutuan perlu berfikir bersama-sama untuk mengatasi perkara ini serta mencari alternatif atau ‘exit policy’ sebagai penyelesaian,” katanya pada Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah 2022 yang dihadiri 250 peserta pelbagai sektor, di sini, hari ini.

Katanya, persediaan awal perlu dilakukan dari sekarang bagi mengelak kekurangan tenaga kerja yang akan menyebabkan ekonomi negeri terjejas memandangkan tempoh dua tahun itu tidak lama.

Sementara itu, beliau berkata semua majikan di Sabah perlu membayar gaji pekerja sama ada warga tempatan atau asing mengikut gaji minimum sebanyak RM1,500 yang dikuatkuasakan kerajaan.

Katanya, jika pekerja tidak diberikan kadar gaji minimum, ia boleh dikategorikan sebagai buruh paksa dan majikan boleh dikenakan tindakan.

Mengulas mengenai program itu, katanya, ia dilaksanakan untuk menyampaikan dasar, perundangan dan peraturan terkini berkaitan perburuhan negara dan bertukar pendapat dengan International Labour Organization (ILO).

“Kita mahu mendapatkan maklum balas peserta mengenai isu-isu yang dihadapi meliputi topik semasa dalam industri perburuhan negara.

“Isu ini penting kerana ia merupakan ‘key player’ kepada pembangunan sesebuah negara dan seterusnya mampu meningkatkan ekonomi dan kestabilan sosial di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah berkata program itu sangat baik bagi memberi pemahaman kepada pihaknya, pekerja dan industri mengenai peraturan kerajaan Malaysia untuk semua pekerja terutama rakyat Indonesia di Sabah.

Katanya, gaji minimum sebanyak RM1,500 juga sangat baik dan mendorong warga Indonesia masuk secara sah ke negara ini untuk bekerja.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|