Pendekatan G2G selesai isu tuntutan Sulu – Bung Moktar

Pendekatan G2G selesai isu tuntutan Sulu – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Isu tuntutan Sulu ke atas Sabah perlu diselesaikan sepenuhnya termasuk menerusi pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Filipina.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun usaha itu sukar berikutan pendirian Filipina yang tidak mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia namun langkah permulaan perlu diambil.

Bung dalam wawancara sebuah portal berita di Kuala Lumpur.

Katanya, isu itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan perlu diselaraskan antara kerajaan Malaysia dan Filipina untuk mencari penyelesaian muktamad demi kebaikan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Mungkin isu ini perlu diselaras antara kerajaan dengan kerajaan tapi hingga kini Filipina tidak pernah mengiktiraf Sabah berada dalam Malaysia. Apabila pilihan raya di negara itu, isu Sabah masih menjadi bahan utama kempen atau perbincangan mereka.

“Jadi, ini memang isu yang sukar tetapi perlu ada usaha untuk menyelesaikannya,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita berhubung langkah perlu diambil bagi menangani isu tuntutan Sulu.

Berhubung soal keselamatan akibat isu tuntutan berkenaan, Bung Moktar yakin terhadap kemampuan pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan sempadan dan kedaulatan Sabah.

Beliau berkata, pencerobohan luar seperti dilakukan pengganas Sulu dalam insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 mungkin boleh berulang tetapi pasukan keselamatan negara kini lebih bersedia menghadapi sebarang ancaman.

“Pencerobohan berulang tidak mustahil tapi saya yakin penguat kuasa, tentera dan lain-lain agensi sudah bersedia mempertahankan setiap inci sempadan Sabah.

“Ini saya yakin kerana selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah, saya sendiri selalu berhubung dengan agensi yang berkaitan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengenai pemantauan keselamatan,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, beliau sendiri sentiasa membangkitkan isu tuntutan Sulu pada setiap persidangan Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata pendirian Filipina yang menganggap Sabah sebahagian daripada wilayahnya bertentangan dengan pendirian rakyat Sabah yang memilih Malaysia ketika Suruhanjaya Cobbold menjalankan referendum di Sabah sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

“Filipina tidak membuka pejabat kedutaan mereka di Sabah sebab bagi mereka Sabah ini sebahagian daripadanya. Tapi Suruhanjaya Cobbold mengesahkan bahawa rakyat Sabah memilih untuk sama-sama membentuk Malaysia,” katanya.

Jelasnya, kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak, malah kerajaan juga sudah menegaskan tidak akan mengeluarkan walau seinci pun Sabah daripada bumi Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|