Ibu tidak sangka anak ‘pergi’ akibat tertimbus

Ibu tidak sangka anak ‘pergi’ akibat tertimbus

Kota Kinabalu: Seorang ibu tidak menyangka anaknya ‘pergi’ dalam keadaan menyayat hati apabila tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Norain Julaziz, 11, dan adik sepupunya, Isa Sabri, 2, terkorban akibat tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan.

Botong ketika ditemui di lokasi kejadian rumahnya yang runtuh di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, Kota Kinabalu.

Razma Botong, 36, berkata, tiada petanda anak bongsunya, Norain, akan meninggalkan mereka selama-lamanya kerana dia langsung tidak menunjukkan sebarang petunjuk sebelum terkorban dalam kejadian itu.

Katanya, dia yang kebetulan pulang dari tempat kerja terkejut apabila melihat rumah keluarganya runtuh akibat kejadian tanah runtuh terbabit.

“Ketika kejadian, semua anak saya berada di rumah ibu bapa saya dan saya tidak sangka berlaku runtuhan sebegitu kerana tidak pernah kejadian seperti ini berlaku sepanjang tinggal di sini.

Keadaan rumah mangsa yang runtuh sehingga menyebabkan dua kanak-kanak maut tertimbus dan dua lagi terselamat dalam kejadian di kawasan setinggan berhampiran rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, Kota Kinabalu.

“Saya kemudian bergegas mencari salah seorang anak saya yang tertimbus di dalam runtuhan berkenaan dan anak saya adalah mangsa terakhir yang ditemui daripada empat mangsa yang tertimbus dalam kejadian itu.

“Anak saudara saya yang bayi adalah orang pertama ditemui disusuli ibu dan bapanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya lagi, anaknya sempat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth dan berharap sempat diselamatkan.

“Namun anak saya disahkan sudah tiada ketika di hospital dan kini masih dalam proses pengurusan jenazah sebelum dikebumikan nanti.

“Urusan pengebumian akan diuruskan oleh bapa saya dan setakat ini kami belum dapat pastikan di mana kedua-dua jenazah iaitu anak saya dan anak saudara saya akan dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Botong Jaafar, 57, memaklumkan kejadian itu berlaku di hadapan matanya sendiri di mana dua cucunya tertimbus dalam runtuhan berkenaan.

“Ketika kejadian kami baru selesai makan malam dan cucu-cucu sedang bermain di ruang tamu.

“Saya terdengar bunyi yang kuat dari luar sebelum runtuhan berlaku dan seterusnya menghempap ruang tamu rumah serta menyebabkan dua cucu saya tertimbus,” katanya.

Katanya, usaha mangsa yang tertimbus segera dilakukan sebelum keempat-empatnya ditemui di mana dua cucunya disahkan meninggal dunia manakala anak serta menantu terselamat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|