Sabah anjur Simposium Keusahawanan Sosial yang pertama

Sabah anjur Simposium Keusahawanan Sosial yang pertama

Kota Kinabalu: Kira-kira 300 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai Simposium Keusahawanan Sosial (SE Summit) yang julung kali diadakan di Sabah, berakhir semalam.

Acara dua hari itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, dianjurkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCENIC), Yayasan Amanah Belia – myHarapan, Persatuan Keusahawanan Sosial Sabah (SOSEA) dan Borneo Startup Community (BoSCo).

Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata selain menganjurkan program, ia turut menyasarkan untuk membawa lebih banyak kesedaran berkaitan kewujudan perniagaan-perniagaan sosial (SE) di Sabah kepada agensi kerajaan, korporat, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri sidang kemuncak itu.

“Kita menyasarkan untuk menghubungkan titik dan membina persekitaran serta ekosistem SE yang mana idea bernas selain kolaborasi berpotensi boleh berlaku.

“Kita berharap agenda SE boleh dibawa ke dalam program Flagship Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Keusahawanan Sosial mempunyai elemen untuk menyelesaikan isu komuniti dan alam sekitar selain pada masa yang sama masih dapat memperoleh keuntungan untuk perniagaan.

“Ia adalah masa hadapan yang harus diperjuangkan oleh entiti perniagaan. Ia boleh membasmi kemiskinan dan menonjolkan inovasi akar umbi terkini untuk menyelesaikan cabaran yang menekan, sama ada masalah alam sekitar atau komuniti,” katanya.

Sementara itu, Presiden SOSEA, Zazila Roslan, berkata ahli persatuan akan mendapat manfaat daripada program itu menerusi pendedahan, jaringan dan kefahaman yang mendalam berkaitan konsep keusahawanan sosial.

“Usahawan sosial di Sabah kebanyakannya datang daripada komuniti itu sendiri, yang bermaksud mereka adalah pembina komuniti di kawasan masing-masing.

“Dengan menghadiri dan membawa bersama komuniti mereka mendapatkan lebih banyak pendedahan dan berjumpa dengan pemain SE yang lain di luar negara adalah ‘game changing’ untuk kita,” katanya sambil menambah ketika ini ada seramai 62 usahawan sosial menyertai SOSEA.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amanah Belia – myHarapan, Nurfarini Daing, mereka berharap untuk membantu Sabah membangunkan ejen perubahan pasukan sendiri yang dapat memberi inspirasi kepada yang lain dalam membangunkan warga negara dan komuniti yang mempunyai rasa keyakinan serta autonomi yang baik ke arah mengubah status quo untuk mencapai kestabilan sosial dan ekonomi.

“Setiap kali, ketika kita melibatkan diri dengan bakat Sabah, kita dapat melihat bagaimana kekangan yang wujud, belia dapat bangun untuk mencipta penyelesaian, besar dan kecil dalam isu yang mereka benar-benar mengambil berat.

“Mereka mempunyai kapasiti untuk melakukan lebih banyak apabila diberikan sokongan yang betul dan fasilitasi.

“(Menerusi simposium ini), belia dapat memperolehi secara terus daripada kebijaksanaan manusia dan organisasi yang menyokong atau menjalankan perniagaan sosial mereka sendiri, memberi bukti jelas yang ia berkesan di Sabah,” katanya.

Seramai 25 jurucakap, mentor dan jurulatih membuat perkongsian masing-masing sepanjang simposium berkenaan.

Simposium itu turut merangkumi lima forum yang membincangkan mengenai budaya, kesihatan dan kesejahteraan, keselamatan makanan, kehidupan komuniti, selain konservasi alam sekitar.

Acara itu dilancarkan Setiausaha Tetap KSTI, Zainudin Aman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|