Pasangan kekasih tokan dadah ditahan

Pasangan kekasih tokan dadah ditahan

Kota Marudu: Sepasang kekasih yang dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, semalam.

Dalam operasi jam 4 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun terbabit berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah pusat peranginan di Pitas, di sini.

Dadah jenis syabu yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Redzuan Amat Lin terus melakukan serbuan.

Katanya, dua tokan dadah yang dikehendaki iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan ditahan di sebuah bilik di pusat peranginan, di sini.

“Hasil serbuan, polis menemui 11 paket plastik lutsinar berlainan saiz bersama enam tiub straw plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 31.8 gram.

“Berdasarkan ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Polis menahan pasangan kekasih dalam serbuan di sebuah pusat peranginan di Pitas.

Zairolnizal berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek terus dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut dan kini direman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

Sehubungan itu, Zairolnizal berkata, pihaknya menyeru kepada masyarakat setempat supaya menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat.

Katanya, ia termasuk sekiranya terdapat pergerakan individu yang mencurigakan membabitkan aktiviti pengedaran dadah di Daerah Kota Marudu dan Pitas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|