Penyudah tumpul hampakan Pasukan B19 Sabah

Penyudah tumpul hampakan Pasukan B19 Sabah

Kota Kinabalu: Pengurus Pasukan Bawah 19 tahun (B19) Sabah, Jamawi Jaafar mengakui ketumpulan jentera serangan menggagalkan hasrat pasukan itu untuk meraih tiga mata ketika menentang Polis FC dalam aksi bola sepak Piala Belia di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Selangor, semalam.

Beliau yang pertama kali mengemudi pasukan B19 Sabah musim ini sebagai pengurus pasukan berkata, skuad B19 Sabah banyak mencipta peluang baik untuk menjaringkan gol namun disia-siakan dan terpaksa akur dengan keputusan seri 0 – 0.

Jamawi (dua kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum perlawanan menentang Polis FC.

“Berdasarkan perlawanan itu, kita lebih banyak memiliki peluang berbanding Polis FC namun bahagian serangan gagal menyempurnakannya.

“Walaupun pasukan lawan memiliki barisan pertahanan yang baik, kita masih dapat mengkucar-kacirkan mereka tetapi malangnya tiada penyudah ditambah lagi keadaan padang licin ekoran hujan ketika pelawanan,” katanya ketika di hubungi, di sini, hari ini.

Jamawi (tengah) bersama jurulatih dan pegawai B19 Sabah merakamkan gambar bersama pemain.

Sementara itu, Jamawi berkata, walaupun sekadar seri, secara keseluruhan beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Ini adalah perlawanan pertama kita dan sudah tentu selepas ini pihak jurulatih akan memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan bahagian serangan dalam sesi latihan bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan saya berharap pemain akan menumpukan perhatian terhadap sesi latihan,” katanya.

Pasukan B19 Sabah akan bertemu Kuching FC pada 5 Mac ini di Satdium Penampang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|