Kerjasama DNB dengan IPT tingkatkan literasi internet di pedalaman

Kerjasama DNB dengan IPT tingkatkan literasi internet di pedalaman

Kota Kinabalu: Kerjasama di antara Digital Nasional Berhad (DNB) dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di Sabah penting untuk penyediaan modul asas literasi internet kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonneybone J Kurum berkata, ia berikutan situasi di Sabah yang berhadapan dengan masalah jurang digital yang besar terutama di kawasan pedalaman.

Jelasnya, masalah jurang digital berlaku disebabkan penyedia perkhidmatan internet (ISP) terlalu berorientasikan keuntungan dan fokus kepada pembinaan infrastruktur jalur lebar di kawasan komersial berbanding di luar bandar.

“Rakyat negeri ini terpaksa membayar harga yang sama untuk mendapatkan akses internet yang jauh lebih lemah berbanding penduduk di Semenanjung.

“Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan persekutuan telah mewujudkan satu kenderaan berfungsi khusus iaitu DNB untuk membangunkan spektrum 5G di seluruh negara dan diberikan autoriti sebagai Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dalam merevolusikan perkhidmatan internet di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jonneybone yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, lesen eksklusif yang diberikan kepada DNB dilihat sebagai pilihan yang tepat berbanding sekiranya kerajaan membenarkan syarikat telekomunikasi untuk membida lesen spektrum 5G.

“Pembangunan spektrum 2G sehinggalah 4G yang dipelopori oleh syarikat telekomunikasi menyebabkan jurang digital melebar berikutan tindakan ISP yang mengabaikan Sabah kerana terlalu obses mengisi poket masing-masing.

“Disebabkan pembangunan fasiliti yang tidak seimbang, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps sahaja meskipun mereka melanggan pelan yang paling mahal di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, tatacara bermasyarakat telah berevolusi dengan pantas seiring dengan perkembangan teknologi apabila urusan seharian seperti bermesyuarat, memesan makanan dan pembayaran bil mula dilakukan secara dalam talian.

Bagaimanapun, beliau berkata, urusan melalui aplikasi secara dalam talian akan terbatas sekiranya literasi digital dalam kalangan penduduk Sabah masih rendah.

“Di Kinabatangan, etnik Sungai terpaksa menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer untuk ke Kota Kinabalu bagi menjual hasil kraftangan mereka seperti tikar mengkuang, tudung saji dan gabang kayu.

“Akses serta literasi internet yang rendah menyebabkan urusan jual beli dalam talian masih asing bagi sebilangan besar penduduk di kawasan pedalaman Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Jonneybone yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Telupid berkata, pembinaan infrastruktur jalur lebar adalah keperluan yang mesti digerakkan seiring dengan kefahaman masyarakat setempat terhadap internet.

“DNB harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan termasuklah kolej komuniti, GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh Sabah untuk menyediakan modul asas literasi internet khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, menurut penganalisis ekonomi, Sabah mesti hadir sebagai destinasi yang mesra pelabur dan lengkap dengan kemapanan ekonomi digital berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

“Ekonomi digital melibatkan segenap aspek urus tadbir kerajaan tempatan, perkhidmatan awam, penjanaan tenaga dan komuniti setempat.

“Oleh itu, tindakan memilih Kota Kinabalu untuk dibangunkan sebagai salah satu Bandar Pintar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah pilihan yang tepat untuk membudayakan ekonomi digital.

“Bagi menyokong aspirasi ini, kerajaan negeri telah menggagaskan teras ketiga Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau,” katanya.

Bagaimanapun, Jonneybone berkata, transformasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar memerlukan usaha menyeluruh yang melibatkan kesemua pemegang taruh termasuklah kerajaan persekutuan dan DNB.

“DNB sebagai pemain utama Jendela perlu membangunkan infrastruktur 5G secara lebih inklusif dan holistik.

“Alasan bentuk muka bumi Sabah yang tidak bersesuaian yang sering diguna pakai syarikat telekomunikasi sudah lapuk dan hanya diberikan bagi menutup niat sebenar mereka yang sekadar mahu mengaut keuntungan di kawasan-kawasan yang lebih komersial.

“Sabah tidak mahu ketinggalan dengan negara jiran sepertimana rakan-rakan di Semenanjung dengan Singapura,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|