Bekas pengarah KPTM Semporna berdepan 12 pertuduhan salah guna kuasa

Bekas pengarah KPTM Semporna berdepan 12 pertuduhan salah guna kuasa

Tawau: Seorang pengarah di sebuah institusi pendidikan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini, atas 12 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembelian tiket penerbangan untuk anak dan isterinya pada 2017 hingga 2018.

Tertuduh, Saifulkahad Shariff, 54, yang juga Pengarah Pengajian Berterusan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ibu Pejabat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh antara November 2017 hingga 7 Ogos 2018 di Pejabat KPTM Semporna sebagai pengarah kolej berkenaan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi isteri dan anaknya dengan meluluskan Borang Permohonan Perolehan bagi pembelian tiket kapal terbang dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Pembelian tiket itu adalah untuk anak dan isterinya dengan jumlah keseluruhan RM6,797.50 daripada sebuah agensi pelancongan yang mana mereka tidak layak untuk kemudahan itu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, mahkamah juga menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali selain diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang untuk mendekati saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguamnya, Sitti Nurul Ain Sahidah Pitting.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|