Pegawai tadbir didakwa salah guna jawatan lulus dokumen isteri beli kenderaan jabatan

Pegawai tadbir didakwa salah guna jawatan lulus dokumen isteri beli kenderaan jabatan

Tawau: Seorang pegawai tadbir diplomatik mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyalahgunakan jawatan untuk meluluskan dokumen isterinya bagi sebut harga pembelian kenderaan jabatan bernilai kira-kira RM15,000 pada 2018.

Tertuduh, Mohaidy Tabin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 18 Oktober 2018 di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau sebagai Ketua Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga di pejabat berkenaan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih isterinya sebagai penyebut harga yang berjaya dalam sebut harga kenderaan jenis Toyota Fortuner bernilai RM15,000.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan, manakala 8 April depan sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain dilarang untuk mendekati saksi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|